Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin Di Sabah (4)
Siapakah Pekerja Bukan Pemastautin di Malaysia?
Pekerja Bukan Pemastautin ialah pekerja bukan warganegara yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk bekerja di negeri ini
Apakah dokumen yang digunakan oleh Pekerja Bukan Pemastautin untuk bekerja di negeri ini?
Pekerja Bukan Pemastautin yang bekerja di negeri ini menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Berapa lama tempoh Pekerja Bukan Pemastautin dibenarkan bekerja di negeri ini?
Pekerja Bukan Pemastautin dibenarkan bekerja di negeri ini bagi tempoh 5 tahun dan tempoh lanjutan selama 5 tahun (5+5).
Berapa had umur Pekerja Bukan Pemastautin dibenarkan bekerja di negeri ini?
Had umur minimum Pekerja Bukan Pemastautin yang dibenarkan bekerja adalah di antara 18 tahun hingga 45 tahun. Had umur ini merujuk kepada umur pada kali pertama kemasukan Pekerja Bukan Pemastautin ke dalam Malaysia.
Undang-Undang Berkaitan Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin (7)
Adakah Pekerja Bukan Pemastautin di Malaysia dilindungi di bawah undang-undang perburuhan?
Ya, Pekerja Bukan Pemastautin menerima perlindungan di bawah undang-undang perburuhan sama seperti pekerja tempatan. Perlindungan ini meliputi faedah pembayaran gaji, elaun kerja lebih masa, hak cuti tahunan, cuti sakit, hari rehat serta faedah-faedah lain yang diperuntukan di bawah Akta Kerja 1955.
Adakah majikan wajib menyediakan Kontrak Perkhidmatan kepada Pekerja Bukan Pemastautin?
Ya. Majikan wajib menyediakan dan menandatangani kontrak perkhidmatan yang mengandungi terma-terma yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.
Adakah Perintah Gaji Minimum terpakai kepada Pekerja Bukan Pemastautin?
Ya, Perintah Gaji Minimum adalah terpakai kepada Pekerja Bukan Pemastautin yang digajikan oleh majikan di negeri ini.
Jika majikan memberikan tempoh percubaan kepada Pekerja Bukan Pemastautin, adakah Pekerja Bukan Pemastautin layak dibayar gaji minimum?
Ya, semua pekerja termasuk Pekerja Bukan Pemastautin sama ada masih dalam tempoh percubaan atau telah disahkan layak kepada gaji minimum sepenuhnya tanpa sebarang pengurangan.
Apakah tanggungjawab setiap majikan yang menggajikan Pekerja Bukan Pemastautin?
Majikan bertanggungjawab untuk melapor penggajian Pekerja Bukan Pemastautin dalam tempoh 14 hari Pekerja Bukan Pemastautin dan penamatan Pekerja Bukan Pemastautin dalam tempoh 30 hari kepada JTK berhampiran seperti diperuntukkan dalam Seksyen 60K, Akta Kerja 1955.
Adakah majikan dibenarkan memotong gaji pekerja untuk tujuan penginapan?
Ya. Majikan dibenarkan membuat pemotongan kadar sewa atau caj penginapan bagi setiap pekerja termasuklah Pekerja Bukan Pemastautin seperti diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja (Kadar Maksimum Sewa Atau Caj Penginapan) 2020. Kadar potongan hendaklah tidak melebihi RM100.00 sebulan.
Adakah pasport Pekerja Bukan Pemastautin boleh disimpan oleh majikan?
Tidak. Majikan tidak boleh menyimpan pasport Pekerja Bukan Pemastautin dan ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12 (f) Akta Pasport 1966.
Agensi Kawal Selia (AKS) (2)
Apakah Peranan AKS dalam urusan penggajian Pekerja Bukan Pemastautin?
AKS bertanggungjawab untuk menentukan syarat dan kriteria penggajian Pekerja Bukan Pemastautin bagi setiap sektor serta menentukan kuota kelayakan majikan mengikut polisi dan dasar semasa yang berkuatkuasa.
Nyatakan senarai AKS yang terlibat?
- Kementerian Dalam Negeri (KDN)
- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
- Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC)
- Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC)
- Kementerian Pengangkutan
- Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG)
- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)
Pra-Syarat Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin (1)
Nyatakan pra syarat penggajian Pekerja Bukan Pemastautin yang perlu dilaksanakan oleh majikan?
Kerajaan telah menetapkan pra syarat kepada majikan yang berhasrat untuk memohon atau sedang menggajikan Pekerja Bukan Pemastautin seperti berikut:
- Mengiklankan kekosongan jawatan dalam tempoh 30 hari sebelum permohonan dibuat
- Membuat pembayaran gaji Pekerja Bukan Pemastautin melalui bank
- Menyediakan penginapan kepada semua Pekerja Bukan Pemastautin yang digajikan
- Memastikan semua Pekerja Bukan Pemastautin bercarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
Jawatan Yang Dibenarkan Untuk Pekerja Bukan Pemastautin (2)
Apakah kategori pekerjaan yang dibenarkan untuk Pekerja Bukan Pemastautin?
Pekerja Bukan Pemastautin hanya dibenarkan digajikan bagi kategori pekerjaan asas. Walau bagaimanapun, bergantung kepada sektor dan sub sektor tertentu, penggajian Pekerja Bukan Pemastautin bagi kategori selain pekerjaan asas adalah dibenarkan mengikut polisi semasa.
Adakah Pekerja Bukan Pemastautin dibenarkan untuk bekerja sebagai juruwang?
Tidak. Pekerja Bukan Pemastautin tidak dibenarkan bekerja sebagai pekerja barisan hadapan (frontliners). Senarai jawatan dibenarkan seperti berikut:
| Sektor/Sub Sektor | Jawatan Yang Dibenarkan |
|---|---|
| Perkilangan |
|
| Pembinaan | Buruh Pembinaan (Kerja Bangunan) |
| Perladangan |
|
| Pertanian |
|
| Pengkuarian & Perlombongan | Pekerja Am |
| Restoran |
|
| Pembersihan/Pencucian |
|
| Hotel | Pengemas Bilik |
| Kargo | Pekerja Pengangkutan Barang dan Buruh Penyimpanan |
| Kedi | Kedi Golf |
| Pulau Peranginan | Pengemas Bilik |
| Pusat Urut Kaki | Tukang Urut Spa |
| Spa | Tukang Urut Spa |
| Borong & Runcit |
|
Levi Pekerja Bukan Pemastautin (3)
Berapakah kadar bayaran levi Pekerja Bukan Pemastautin?
Kadar bayaran levi seorang Pekerja Bukan Pemastautin untuk setiap tempoh satu tahun adalah seperti berikut:
| Sektor | Kadar Levi |
|---|---|
| Pertanian | RM640.00 |
| Perladangan | RM640.00 |
| Perkilangan | RM640.00 |
| Perkhidmatan | RM1850.00 |
| Pembinaan | RM1850.00 |
Siapakah yang bertanggungjawab membayar levi Pekerja Bukan Pemastautin?
Bermula 1 Januari 2018, levi Pekerja Bukan Pemastautin hendaklah dibayar dan ditanggung sepenuhnya oleh majikan
Bila bayaran levi perlu dibuat oleh majikan?
Bayaran levi hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas kelulusan kuota diberikan di One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri (KDN). Bayaran hendaklah dibuat dalam bentuk bank deraf di atas nama Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia.
negeri Sumber Pekerja Bukan Pemastautin (2)
Nyatakan senarai negera sumber Pekerja Bukan Pemastautin yang dibenarkan untuk digajikan?
negera sumber yang dibenarkan adalah Indonesia, Nepal, India, Filipina, Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Turksmenistan, Uzbekistan dan Kazakhtan.
Adakah terdapat sektor tertentu yang menghadkan Pekerja Bukan Pemastautin daripada setiap negeri sumber untuk bekerja?
Ya. Pekerja dari negeri India hanya dibenarkan bekerja di dalam sektor perkhidmatan (restoran sahaja), sektor pembinaan (high tension cable), sektor pertanian dan sektor perladangan. Manakala pekerja lelaki dari negera Indonesia dibenarkan bekerja di dalam semua sektor kecuali sektor perkilangan.
Sektor Dan Sub Sektor Dibenarkan (3)
Nyatakan sektor-sektor yang dibenarkan untuk menggajikan Pekerja Bukan Pemastautin?
- Sektor Perkilangan
- Sektor Pembinaan
- Sektor Perladangan
- Sektor Pertanian
- Sektor Perkhidmatan
- Sektor Perlombongan dan Pengkuarian
Nyatakan sub-sektor yang dibenarkan untuk menggajikan Pekerja Bukan Pemastautin?
- Sub-Sektor Restoran
- Sub-Sektor Borong dan Runcit
- Sub-Sektor Pembersihan dan Pencucian
- Sub-Sektor Kargo
- Sub-Sektor Kedi
- Sub-Sektor Hotel
- Sub-Sektor Pulau Peranginan
- Sub-Sektor Spa
- Sub-Sektor Pusat Urut Kaki
Adakah semua majikan sektor pembinaan layak menggajikan Pekerja Bukan Pemastautin?
Ya. Semua majikan sektor pembinaan adalah layak untuk menggajikan Pekerja Bukan Pemastautin. Walau bagaimanapun, permohonan di dalam Sistem ePPAx hanya dibenarkan kepada majikan yang bergred G4 hingga G7. Majikan sektor pembinaan Gred G1, G2 dan G3 hendaklah merujuk kepada Construction Labour Exchange Centre Bhd (CLAB) untuk membuat permohonan Pekerja Bukan Pemastautin.
Proses Penggajian Pekerja Bukan Pemastautin (3)
Nyatakan penglibatan JTKS dalam proses penggajian Pekerja Bukan Pemastautin?
JTKS bertanggungjawab untuk mengeluarkan dokumen sokongan kepada majikan yang layak menggajikan Pekerja Bukan Pemastautin berdasarkan hasil siasatan perburuhan dan semakan kelayakan yang telah dijalankan. Dokumen sokongan ini adalah merupakan salah satu dokumen wajib yang perlu dibawa oleh majikan semasa berurusan di One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Nyatakan proses selanjutnya bagi permohonan yang diluluskan di peringkat JTKS?
Majikan perlu hadir ke One Stop Centre (OSC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk proses temuduga akhir. Jadual temuduga bagi setiap sektor akan dipaparkan dalam laman web KDN.
Nyatakan proses selanjutnya bagi permohonan yang ditolak di peringkat JTKS?
Majikan boleh mengemukakan permohonan rayuan dalam tempoh 30 hari selepas notifikasi keputusan dihantar. Majikan digalakkan untuk melaksanakan tindakan pematuhan dan memenuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan bagi membolehkan permohonan rayuan dipertimbangkan untuk kelulusan.
